VVIP DENAI CINTA

10 September 2012

Bicara Saksi Beri Keterangan Palsu Kes Bunuh Sosilawati Ditetap 5 November

SHAH ALAM, Ogos 2012 : Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menetapkan 5 dan 6 November ini untuk perbicaraan kes pekerja ladang, U Suresh yang didakwa memberi keterangan palsu dalam perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Salwa Asmary Abdul Rahim memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima nota prosiding perbicaraan kes bunuh itu daripada Hakim Datuk Akhtar Tahir.

Pada 30 April lalu, Akhtar memerintahkan bekas peguam, N Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang iaitu T Thilaiyalagan, R Matan dan R Kathavarayan membela diri terhadap tuduhan membunuh Sosilawati, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, pegawai bank, Noorhisham Mohamad dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin.

Mahkamah Rayuan, bagaimanapun, memerintahkan supaya perbicaraan itu ditangguh sementara menunggu keputusan rayuan empat tertuduh terbabit terhadap keputusan Akhtar yang mengetepikan sapina yang dikeluarkan oleh mereka terhadap tiga timbalan pendakwa raya (TPP) dalam kes itu, supaya tampil sebagai saksi.

Suresh, 28, dan seorang lagi pekerja ladang, K Sarawanan, 21, kini menjalani hukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang, Melaka, kerana kesalahan melupuskan bukti berkaitan kes pembunuhan itu. Pada 10 Ogos tahun lalu, Suresh mengaku tidak bersalah memberi keterangan palsu dalam prosiding perbicaraan kes Pendakwa Raya lawan Pathmanabhan, Thilaiyalagan, Matan dan Khatavarayan di hadapan Akhtar sedangkan keterangan yang dia beri kepada pegawai perakam, ASP Ong Seng Keong pada 26 Oktober 2010 di Penjara Sungai Udang, Melaka, adalah berbeza. Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 9.30 pagi dan 12 tengah hari pada 25 dan 27 Julai 2011 di Mahkamah Tinggi 8, di sini.

Suresh didakwa mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. Dia adalah saksi ke-29 pendakwaan dalam perbicaraan kes bunuh itu yang didakwa dilakukan di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Pada 15 Oktober 2010, Suresh dan Sarawanan masing-masing dijatuhi hukuman penjara 28 tahun selepas mereka mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting atas empat tuduhan melupuskan bahan bukti dalam pembunuhan itu. Majistret Hurman Hussain mengarahkan hukuman berjalan serentak, bererti Sarawanan dan Suresh masing-masing akan menjalani hukuman penjara tujuh tahun selepas tarikh mereka ditangkap pada 9 September 2010.

Namun, pada 21 Februari tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohtaruddin Baki (kini Hakim Mahkamah Rayuan), dalam melaksanakan kuasanya mengikut Kanun Tatacara Jenayah untuk menyemak keputusan mahkamah rendah, mengurangkan hukuman penjara kepada lima tahun bagi setiap pertuduhan, tetapi memerintahkan hukuman berjalan secara berturut-turut. - BERNAMA
Sumber : Berita Harian

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails