VVIP DENAI CINTA

11 Mac 2011

Derita 3 Penyakit, Bayi Ini Perlukan Sumbangan Anda

BALING, 11 Mac : Baru berusia empat bulan, Ria Qistina Kaisara Noorhisham, disahkan menghidap penyakit bengkak hati, injap jantung sempit serta bengkak buah pinggang. Bapanya Noorhisham Salamun, 31, seorang mekanik, mengaku tidak mampu menanggung kos rawatan yang tinggi kerana sering membawa anaknya berulang alik ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Hospital Sungai Petani dan Hospital Besar Pulau Pinang.

Katanya penderitaan Ria Qistina bermula sejak berusia sebulan apabila disahkan menghidap tiga penyakit itu oleh seorang pakar di Hospital Besar Pulau Pinang. Noorhisham berkata dia sering tidak pergi bekerja selepas Ria Qistina disahkan sakit kerana terpaksa membawa anaknya itu mendapatkan rawatan.

Menurutnya pada bulan ini Jabatan Kebajikan Masyarakat memberikan bantuan RM300 sebulan, namun ia belum mencukupi. Noorhisham berkata anaknya perlu diberi minum sejenis susu yang disyorkan oleh doktor tetapi kerana kesempitan hidup dia hanya mampu menyediakan susu tepung biasa yang lebih murah.

"Kami tak mampu menyediakan susu yang disyorkan kerana harganya mahal," katanya. Penderitaan bayi itu mendapat perhatian Anggota Dewan Undangan Negeri Kedah kawasan Bayu, Azmi Che Husain, yang melawat keluarga itu semalam.

Azmi ketika ditemui Bernama berkata akan cuba membantu meringankan beban keluarga itu menguruskan bayi mereka. Orang ramai yang ingin membantu bolehlah menyumbang melalui akaun Maybank 102046034997 atas nama Zaimah binti Md Zain atau hubungi talian 013-492 3226.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails