VVIP DENAI CINTA

07 Mac 2010

DERMA DARAH SELAMAT DAN BAIK UNTUK KESIHATAN


Naik berat badan, proses yang menyakitkan dan penyakit boleh merebak; demikian antara kepercayaan atau andaian yang menyekat kerjasama masyarakat untuk menderma darah.

Pakar perubatan yang menyangkal andaian sedemikian sebaliknya menegaskan bahawa menderma darah baik untuk kesihatan selain dapat merangsang pertumbuhan sel-sel darah baru. Penderma darah atau mereka yang sudah melalui proses ini mengakui ia bukan sesuatu yang menyakitkan.

Pengarah Pusat Darah Negara (PDN) Dr Roshidah Hassan memberi jaminan bahawa proses menderma darah adalah selamat kerana sebelum menderma, bakal penderma dikehendaki mengisi borang soal selidik tentang status kesihatan mereka selain menjalani ujian tekanan darah dan pengenalan jenis darah.

"Selepas itu, bagi setiap unit darah yang diderma, sampel darah diambil untuk ujian semula kumpulan ABO dan ujian saringan bagi menentukan darah yang diderma selamat digunakan. Ujian saringan yang dilakukan ialah bagi mengesan virus hepatitis B, hepatitis C, HIV, siflis dan malaria. Jika mereka dikesan mempunyai simptom-simptom ini, mereka tidak dibenarkan menderma darah," katanya dalam satu temu bual dengan Bernama.

BEKALAN PERLU KONSISTEN

Dr Roshidah berkata andaian bahawa menderma darah boleh menyebabkan penyakit merebak juga tidak benar kerana setiap jarum yang digunakan untuk suntikan akan dibuang manakala peralatan perubatan yang digunakan juga akan disteril semula.

Walaupun PDN tidak mengalami kekurangan bekalan darah yang kritikal tetapi pusat itu menggalakkan aktiviti menderma darah kerana mahu sentiasa mempunyai bekalan yang konsisten.

"Secara amnya dalam tempoh setahun, bekalan darah yang ada di dalam stok, mencukupi untuk memenuhi permintaan ini. Masalah tidak dapat membekalkan darah mengikut permintaan biasanya timbul pada masa-masa tertentu sahaja," katanya.

Trend kekurangan bekalan darah selalunya berlaku selepas cuti perayaan yang panjang, pada penghujung bulan Ramadan, pada hujung, awal dan pertengahan tahun. Peningkatan pemintaan darah berlaku kerana pertambahan bilangan jumlah hospital awam dan swasta, pertambahan bilangan doktor terlatih yang mampu merawat dan peningkatan tahap kemahiran dan kepakaran doktor bedah, katanya.

Dr Roshidah berkata PDN memerlukan lebih 550,000 pendermaan dari seluruh negara pada tahun ini bagi memastikan bekalan darah berada dalam tahap konsisten di pusat itu. "Di PDN sahaja, kami sasarkan 400 hingga 420 pendermaan akan dibuat di pusat kami setiap hari."

Dan PDN membekalkan kira-kira 400 unit darah merah sehari ke hospital-hospital dan klinik swasta yang berdaftar dengan PDN di sekitar Wilayah Persekutuan, Selangor, Pahang barat serta Negeri Sembilan. PDN memerlukan lebih daripada 2,500 unit dalam stok pada satu-satu masa bagi membekalkan darah mengikut permintaan.

JANGKA HAYAT TERHAD

Dr Roshidah berkata semua jenis darah yang didermakan amat diperlukan pesakit. "Tidak kiralah sama ada seseorang itu kumpulan darah A, B, AB atau O ataupun ia daripada kumpulan Rh Negatif atau Positif, semuanya dialu-alukan untuk tampil menderma darah," katanya.

Beliau berkata wujud juga tanggapan yang salah berhubung jangka hayat darah hingga menyebabkan kurang aktiviti menderma darah. "Ramai yang masih menganggap bahawa darah yang didermakan itu boleh tahan lama, maka mereka ingat hanya perlu mendermanya sekali sahaja atau mereka rasa tidak perlu menderma kerana sudah ada yang menderma."

"Walhal, jangka hayat darah adalah terhad, darah merah boleh digunakan dalam tempoh 42 hari sahaja manakala platelet hanya boleh bertahan lima hari," katanya.

Beliau juga menjelaskan bahawa bekalan darah bukan sahaja untuk kegunaan mangsa kemalangan tetapi juga diperlukan untuk kes-kes kronik yang memerlukan tranfusi darah seperti talassemia, buah pinggang, kanser dan leukaemia serta kes-kes pembedahan.

BUKAN PUNCA GEMUK

Ketua Pegawai Perubatan di Pusat Kesihatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Dinon Mohd menjelaskan bahawa sekiranya penderma darah mengalami kenaikan berat badan, ia bukan berpunca daripada aktiviti menderma darah tetapi melibatkan faktor berpengaruh yang lain

"Masalah kegemukan selepas menderma tak benar, jika ini berlaku, ia berkemungkinan dari faktor genetik, emosi, cara pemakanan, kurangnya aktiviti sukan atau persekitaran seseorang itu," katanya.

Pegawai Kesihatan Zon Kelang Lama, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Dr Umi Ahmad berkata menderma darah mampu mengurangkan risiko penyakit jantung. "Kecekapan badan penderma menggunakan zat besi akan bertambah kerana garam galian ini diperlukan untuk menghasilkan sel darah merah baru dan proses ini boleh membantu badan mengawal kandungan zat besi dalam badan dan mengelak masalah pengumpulan zat besi berlebihan pada jantung," katanya.

Tambahan lagi, katanya, menderma darah juga membawa kebaikan dari aspek sosial kerana amalan itu dapat menolong mereka yang memerlukan dan ia termasuk dalam sebahagian tuntutan fardu kifayah.

APA KATA PENDERMA

Bagi penderma darah, Aimi Fazreen Abu Bakar, proses menderma darah tidak menyakitkan dan ia tidak mengambil masa yang lama. "Siapa kata sakit? Lagipun, sebelum suntik, jururawat akan sapu ubat pelali, jadi tak rasa sakit pun. Tengok-tengok dah siap," kata penuntut Universiti Islam Antarabangsa berusia 22 tahun itu.

"Masa muda ini eloklah sertai derma darah bagi membantu golongan yang memerlukan. Ini perbuatan mulia, kerana kita mampu menyelamatkan nyawa manusia tanpa mengira batasan agama," kata penderma darah kali keempat itu.

Rosdi Ishak, yang sudah 25 kali menderma darah, berkata beliau akan menjadikan amalan iniu sebagai amalan yang berterusan dalam hidupnya. "Dalam setahun hampir beberapa kali saya pergi di hospital ataupun di unit-unit bergerak, dan bagi saya, kalau tidak menderma, ada sesuatu yang tak lengkap dalam hidup saya," katanya.

Ng Sze Hwei (she), 25, pula berkata unit-unit bergerak (derma darah) perlu diperluas dan dibuka di tempat-tempat awam kerana secara psikologi dapat mengurangkan rasa takut penderma untuk menderma. Penderma darah kali pertama itu berkata beliau akan kembali menderma darah kerana mahu membantu golongan yang memerlukan.

SUMBER - BERNAMA; Nurulhidayah Rosly. Kuala Lumpur 05 Mac 2010

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails