VVIP DENAI CINTA

15 Mei 2013

Tiada Pembunuhan Kejam Babitkan Sosilawati Dan Tiga Individu Pada 30 Ogos 2010 - Peguam

SHAH ALAM, 14 Mei : Tidak ada bukti atau keterangan langsung yang menunjukkan terdapat pembunuhan kejam membabitkan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi di sebuah ladang di Tanjung Sepat, Banting pada 30 Ogos 2010, Mahkamah Tinggi diberitahu Selasa. 


Peguam Manjeet Singh Dhillon, yang mewakili tertuduh pertama N Pathmanabhan, juga berkata tidak ada bukti atau keterangan langsung bagi menunjukkan Sosilawati, pegawai bank Noorhisham Mohamad, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim dan pemandu jutawan itu Kamaruddin Shamsuddin dibunuh empat tertuduh. 

 "Tidak ada bukti atau keterangan langsung bahawa mereka mati atau dibunuh pada tarikh, masa serta tempat seperti dinyatakan dalam pertuduhan. Tidak ada seorangpun saksi yang memberi keterangan bersumpah berkaitan mana-mana elemen yang diperlukan untuk membuktikan kes," katanya di akhir kes pembelaan. 

Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang T Thilaiyalagan, R Matan dan R Khatavarayan didakwa membunuh Sosilawati, 47, Noorhisham, 38, Ahmad Kamil, 32, dan Kamaruddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010. 

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. Manjeet Singh berkata kes pendakwaan hanyalah Sosilawati ke Banting bersama beberapa individu, kononnya ke ladang Pathmanabhan dan mereka tidak pernah kembali. 

Beliau berkata terdapat ramai orang di ladang itu termasuk mereka yang masih tidak dapat dikenal pasti namun DNAnya ada di sana, namun pendakwaan mahu mahkamah mengabaikan perkara itu dan hanya menumpukan perhatian kepada empat tertuduh dan meminta supaya mereka digantung. 

 "Tidak ada bukti yang boleh dipercayai dan bebas berkaitan siapa buat apa, bila, di mana atau bagaimana di ladang itu dan jika pendakwaan cuba membuktikannya, mereka gagal berbuat demikian. Mahkamah tidak seharusnya tunduk kepada tuntutan mereka begitu sahaja. Undang-Undang perlu ditegakkan. Undang-Undang dan bukti dalam kes ini mengatakan tidak ada kes yang boleh dipercayai dan ini, saya berhujah, sepatutnya menjadi keputusan yang sah di akhir kes ini," katanya. 

Manjeet Singh juga berhujah kes ini mendapat liputan meluas media yang seolah-olah mempunyai teori mereka sendiri berdasarkan spekulasi berleluasa dan semua tertuduh mempunyai peluang tipis untuk dibicarakan dengan adil. Oleh itu, beliau berkata mahkamah perlu mengabaikan pelbagai teori yang disyor dan harus menilai kes itu berdasarkan undang-undang serta bukti. 

"Perkara ini harus diputuskan berdasarkan bukti dan keterangan yang dikemukakan kepada mahkamah semata-mata, bukan perkara lain. Tidak juga berdasarkan syak wasangka, lebih-lebih lagi apabila pendakwaan hanya bergantung kepada keterangan mengikut keadaan yang begitu rapuh," katanya. 

Manjeet Singh juga menggesa mahkamah mengambil kira keterangan baharu menerusi peguam Roslie Sulle yang mewakili mekanik K Sarawanan pada 2010, iaitu peguam berkenaan memainkan peranan dalam memanipulasi saksi. Sarawanan, 22, dan U Suresh, 29, kini menjalani hukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang, Melaka selepas mengaku bersalah melupuskan bahan bukti berkaitan pembunuhan itu. 

 "Adakah jenayah berlaku di ladang berkenaan pada malam 30 Ogos 2010? Blog serta tukang ramal nampaknya mengatakan ya, dan pendakwaan membuat spekulasi yang serupa namun malangnya, tidak ada bukti," katanya. Perbicaraan di depan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung esok. BERNAMA


Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails