SHAH ALAM, 22 Mei : Selepas hampir dua tahun, nasib empat tertuduh dalam kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, yang menggemparkan masyarakat serta mendapat liputan meluas media, akan diketahui esok selepas pembelaan menutup kesnya pada Selasa lepas.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir dijangka membacakan keputusan kes itu, yang pastinya dinanti dengan penuh debaran oleh semua pihak terutama anggota keluarga mangsa, pada 9 pagi esok.
Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu wanita itu, Kamaruddin Shamsuddin, 44, sebelum ini dilaporkan hilang selepas ke Banting atas urusan tanah.
Kehilangan mereka membawa kepada penahanan bekas peguam N Pathmanabhan, 43, dan tiga pekerja ladangnya, T Thilaiyalagan, 21, R Matan, 22, dan R Kathavarayan, 33, yang kemudian dihadap ke mahkamah atas pertuduhan membunuh empat individu berkenaan.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani, Ishak Mohd Yusoff dan Saiful Edris Zainuddin manakala Pathmanabhan oleh peguam Manjeet Singh Dhillon dan Pushpa Ratnam, Thilaiyalagan oleh Gurbachan Singh, Matan oleh Amer Hamzah Arshad sementara Hasshahari Johari Mawi mewakili Kathavarayan.
Mahkamah berdepan pelbagai kejutan sepanjang perbicaraan, antaranya dua saksi pendakwaan U Suresh dan K Sarawanan 'berpaling tadah' dan keterangan tertuduh keempat yang mendakwa melihat Sosilawati di sebuah restoran pada 7 Sept 2010, iaitu lapan hari selepas kejadian bunuh dikatakan berlaku.
Ucapan pembukaan pendakwaan sebelum ini memaklumkan kedua-dua saksi akan memberi keterangan bagi membuktikan Pathmanabhan dan Kathavarayan membuat perancangan bersama yang lain untuk membunuh empat individu berkenaan serta peranan yang dimainkan setiap tertuduh dan bagaimana Thilaiyalagan membunuh setiap mangsa.
Suresh dan Sarawanan kini menjalani hukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang, Melaka bagi kesalahan melupuskan bahan bukti dalam kes bunuh itu.
Pihak media juga ditegur pihak pembelaan dan hakim berkaitan penggunaan perkataan 'mangsa' dan 'tempat kejadian'.
Pendakwaan mengemukakan 108 saksi manakala pembelaan memanggil 30 orang memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 4 Julai 2011 dan membabitkan 742 eksibit serta kira-kira 6,000 muka surat nota prosiding. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan