SHAH ALAM, 22 Jun : Mahkamah Sesyen pada Jumaat menetapkan 9 Ogos untuk sebutan semula kes pekerja ladang, U.Suresh, yang didakwa memberi keterangan palsu dalam perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi di sini.
Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Salwa Asmary Abdul Rahim. Salwa Asmary membuat permohonan itu kerana pihaknya belum memperoleh nota prosiding perbicaraan kes bunuh itu daripada Mahkamah Tinggi.
Ini berikutan perbicaraan kes di Mahkamah Tinggi sedang berlangsung di peringkat bela diri. Pada 30 April lepas, Hakim Datuk Akhtar Tahir memerintahkan bekas peguam N.Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang iaitu T.Thilaiyalagan, R.Matan dan R.Kathavarayan membela diri terhadap tuduhan membunuh Sosilawati, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, pegawai bank Noorhisham Mohamad dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan