VVIP DENAI CINTA

04 Mei 2011

Tuntutan RM1.38j Sosilawati Terhadap Nash Dihentikan

Mahkamah benar permohonan peguam berikutan kematian Sosilawati
SHAH ALAM (Berita Harian) : Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam membenarkan permohonan peguam, Datuk Mohd Zaidi Zain, untuk menghentikan tuntutan wang dan modal pelaburan saham amanah bernilai RM1.38 juta antara Datuk Sosilawati Lawiya dengan bekas suaminya, penyanyi Nash berikutan kematian jutawan kosmetik itu.

Hakim Syarie Mohammad Adip Husain, membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan Mohd Zaidi yang mewakili Sosilawati. Katanya, walaupun waris Sosilawati sehingga kini tidak menerima bukti rasmi seperti surat kematian daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), ia memadai berdasarkan fakta semasa iaitu pendakwaan terhadap beberapa individu berhubung kes pembunuhannya. "Saya percaya, situasi ini meyakinkan waris dan mahkamah," katanya.

Nash (kiri) bersama Amli selepas prosiding semalam.

Beliau berkata, mengikut Seksyen 22 Enakmen Tatacara MAL Selangor, permohonan itu boleh terhenti secara automatik berikutan kematian pemohon.
Sosilawati dan tiga individu lain ditemui mati dibunuh di Banting, pada 30 Ogos tahun lalu.

Mohd Zaidi berkata, watikah pelantikannya sebagai peguam yang mewakili Sosilawati dalam kes berkenaan juga terhenti setakat itu.
Sementara itu, peguam mewakili Nash atau nama sebenarnya Jamaludin Elias, 52, Amli Embong, berkata pihak responden tidak mempunyai bantahan terhadap permohonan dibuat Mohd Zaidi.

Pada 21 November 2009, Sosilawati yang juga pengasas kosmetik Nouvelle Visages menuntut bekas suaminya mengembalikan semula modal yang pernah dikeluarkannya untuk pelaburan di Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW2020) masing-masing sebanyak RM200,000, manakala Public Mutual Berhad RM500,000.


Ketika di luar mahkamah, Zaidi berkata, beliau bertemu anak sulung Sosilawati, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 26, yang mewakili waris Sosilawati iaitu anak serta ibunya, dua minggu lalu dan berbincang untuk membatalkan permohonan yang dibuat ibunya sebelum ini.
Katanya, perbincangan lanjut juga akan dibuat bersama semua waris Sosilawati mengenai sama ada akan membuat permohonan tuntutan baru atau sebaliknya.

Beliau berkata, ada kemungkinan permohonan baru dibuat dan pada peringkat ini waris Sosilawati sedang dalam proses pengesahan waris. "Mereka positif meneruskan apa yang sudah dimulakan ibu mereka. Pengesahan waris juga penting kerana akan membabitkan harta lain milik Sosilawati," katanya.

Nash berkata, beliau akan bertemu waris Sosilawati dan berbincang dengan mereka mengenai perkara itu. "
Saya baik dengan anak arwah dan berharap kes ini dapat diselesaikan dengan baik. Insya-Allah, saya akan bertemu anak arwah dalam masa terdekat," katanya.

Foto : Harian Metro

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails