SHAH ALAM, 15 Jan : Perbicaraan kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi di sini dikejutkan dengan kenyataan tertuduh keempat, yang mendakwa melihat jutawan kosmetik itu di sebuah restoran di Tanjung Sepat, Banting lapan hari selepas kejadian bunuh dikatakan berlaku.
R. Kathavarayan, 32, berkata dia ternampak Sosilawati ketika menghantar majikannya, N. Pathmanabhan ke restoran itu untuk bertemu rakannya pada 7 Sept 2010.
"Selepas turun dari kereta, Pathmanabhan menyuruh saya tunggu dalam kereta kemudian dia pergi sembang dengan rakan-rakannya di restoran itu. Selepas bersembang dalam tempoh agak lama, kesemua mereka kemudian dilihat berjalan ke kereta masing-masing.
"Semasa dalam perjalanan pulang ke ladang, saya tanya Pathmanabhan siapa perempuan yang ada di restoran itu, dan dia kata itu perempuan yang datang ke ladang tempoh hari. Saya tanya perempuan itu nampak lain kerana rambut pendek dan Pathmanabhan kata itu adalah perempuan yang sama," katanya pada pemeriksaan utama oleh peguamnya, Hasshahari Johari Mawi.
Kathavarayan diperintah membela diri bersama Pathmanabhan, 43, T. Thilaiyalagan, 21, dan R.Matan, 22, atas pertuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.
Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Dalam keterangannya sebelum ini, Kathavarayan menyatakan bahawa Pathmanabhan bersama sembilan individu termasuk Sosilawati, Kamaruddin, Ahmad Kamil dan Noorhisham datang ke ladang kira-kira 7 petang, 30 Ogos 2010, dengan menaiki tiga kereta.
"Dari lokasi awak (menunggu Pathmanabhan) adakah pandangan awak jelas atau tidak terhadap perempuan itu," soal Hasshahari.
"Semasa saya duduk dalam kereta, memang tidak nampak, saya nampak semasa dia (perempuan) pergi ke kereta," jawab tertuduh.
"Berapa ramai yang berjumpa dengan Pathmanabhan di restoran itu," soal Hasshahari.
"Dalam restoran saya kurang pasti, tetapi semasa mereka ke kereta masing-masing, ada kira-kira lima ke enam orang," jawab Kathavarayan.
"Perempuan itu naik kereta apa, dan siapa bersama dia pergi ke kereta," soal Hasshahari.
Kathavarayan kemudian dirujuk gambar Sosilawati dan ketika ditanya sama ada penampilan wanita yang didakwa dilihat di restoran serupa seperti dalam gambar itu, dan tertuduh menjawab : "Rambut tidak seperti dalam gambar, rambut pendek. Saya tidak pasti sama ada rambut diwarnakan atau tidak, dan pakaian seperti pakaian wanita biasa."
Ketika ditanya penampilan lelaki yang menemani wanita dikatakan Sosilawati itu, Kathavarayan menjawab lelaki itu memakai kemeja lengan panjang, dan ketika ditanya sama ada dia pernah melihat lelaki berkenaan, tertuduh keempat menjawab tidak pernah.
Terdahulu, Kathavarayan turut memberi kenyataan mengejutkan ketika diminta menjelaskan berkaitan perbincangan antara Pathmanabhan dan Sosilawati di luar sebuah bilik di bahagian belakang ladang pada 30 Ogos 2010.
"Adakah awak dapat dengar perbincangan mereka dengan jelas," soal Hasshahari dan tertuduh menjawab "sedikit-sedikit".
"Apa awak dengar," soal Hasshahari dan Kathavarayan menjawab: "Pathmanabhan arah Thilaiyalagan untuk bunuh pemandu (Kamaruddin) dan dia kata Sosilawati yang suruh berbuat demikian... saya tidak diberitahu sebabnya."
"Bagaimana keadaan perbincangan itu berlangsung," soal Hasshahari.
"Ketika perbincangan di luar bilik, Pathmanabhan seperti biasa, dan dan ketika perbincangan di luar bilik, saya tidak pasti tetapi bila kedua-dua mereka (Pathmanabhan dan Sosilawati) keluar bilik, saya nampak Sosilawati dalam keadaan muram dan Pathmanabhan dalam keadaan tergesa-gesa pergi ke kereta untuk ambil barang," jawab Kathavarayan.
Kepada soalan lain, tertuduh keempat itu berkata selepas pulang dari Pekan Banting pada sebelah petang 31 Ogos 2010, dia melihat Thilaiyalagan dan Matan sedang membakar orang yang dibunuh di bahagian belakang ladang.
"Apa maksud dengan orang-orang (yang dibunuh) itu," soal Hasshahari.
"Orang-orang yang dimaksudkan saya ialah pemandu, peguam Melayu dan seorang lagi saya tidak kenal kerana saya tidak lihat mukanya," jawab Kathavarayan.
Tertuduh keempat juga berkata ketika disoal siasat pihak polis, dia telah dirujuk dengan tujuh keping gambar iaitu empat gambar individu yang datang ke ladang (Sosilawati, Kamaruddin, Ahmad Kamil dan Noorhisham) serta tiga gambar individu lain.
Kathavarayan berkata ketika disoal polis sama ada dia mengenali empat individu yang datang ke ladang, dia menjawab tidak mengenali mereka tetapi mengenali tiga individu lain itu.
Perbicaraan di depan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan