SHAH ALAM, 30 April : Mahkamah Tinggi di sini Isnin memerintahkan bekas peguam, N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya membela diri atas tuduhan membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain dua tahun lepas. Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan sedemikian selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Beliau menetapkan selama 15 hari bagi keempat-empat tertuduh membela diri bermula 28 Mei ini. Pathmanabhan serta tiga pekerja ladang iaitu T. Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Kathavarayan dibicarakan atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
Pathmanabhan, 43, Thilaiyalagan, 21, Matan, 22, dan Kathavarayan, 32, didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010 serta didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Akhtar dalam penghakimannya berkata beliau mendapati Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin meninggal dunia disebabkan oleh niat bersama keempat-empat tertuduh untuk membunuh mereka dengan cara memukul dan membakar kesemua mangsa. Beliau berkata baginya sama ada keempat-empat mangsa meninggal dunia kerana dipukul bukan perkara utama tetapi apa yang pasti mereka meninggal dunia kerana dibakar.
"Tiga rakan ini bersama Sosilawati pada tempat dan masa yang salah. Mereka terpaksa dibunuh untuk 'menutup' mulut mereka. Darah ketiga-tiga mangsa ditemui di dinding, kayu pemukul kriket dan dua keping zink. Tidak perlu untuk menunjuKkan siapa yang melakukan pukulan maut, tetapi terdapat niat untuk membunuh," katanya.
Akhtar berkata walaupun rekod transaksi telefon bimbit tidak dapat mengenal pasti secara tepat lokasi Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin tetapi perbualan telefon antara kesemua mangsa dengan anggota keluarga masing-masing menunjukkan mereka telah pergi ke Banting.
Beliau berkata perkara itu turut disahkan dengan keterangan seorang pekerja kedai kerepek bahawa Sosilawati singgah di kedainya yang terletak di Banting untuk membeli kerepek dan keterangan seorang saksi, Siti Hamidah Karnax yang pernah bekerja di ladang berkenaan (tempat kejadian) bahawa beliau nampak seorang wanita dan tiga lelaki datang ke ladang itu.
Katanya, beliau mendapati keterangan Siti Hamidah jujur dan boleh dipercayai walaupun bekas pembantu rumah itu tidak dapat mengenal pasti identiti wanita dan tiga lelaki berkenaan.
Beliau seterusnya berkata pihak pembelaan sebelum ini menghujahkan Sosilawati pergi ke Banting untuk berjumpa orang lain termasuk Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sementa, Datuk Abdul Raman Palil berhubung isu tanah tetapi keterangan menunjukkan tujuan utama Sosilawati ke sana ialah berjumpa Pathmanabhan bagi mempercepatkan bayaran cek untuk pembayaran bonus kepada pekerjanya.
"Namun baki bank tertuduh (Pathmanabhan) menunjukkan dana yang tidak mencukupi dan beliau tidak boleh mengeluarkan cek itu. Ini lebih merupakan motif (pembunuhan)," katanya.
"Tertuduh pertama (Pathmanabhan) secara terang-terang menafikan bertemu Sosilawati apabila bekas suaminya Buhari Mohamed bertanyakan dia di mana Sosilawati berada dan penafian itu menunjukkan dia sebenarnya ada berjumpa Sosilawati dan jelas berbohong."
"Ini membuktikan dia bersalah dan tidak jujur, beliau adalah seorang peguam dan bukan orang kampung. Dia perlu berjumpa pihak berkuasa yang berkenaan dan membersihkan namanya (jika dia tidak bersalah)," katanya.
Akhtar berkata, beliau juga berpuas hati bahawa beberapa barang yang ditemui sepanjang siasatan kes adalah kepunyaan kesemua mangsa dan barang kes yang ditemui adalah hasil maklumat yang diberikan oleh tertuduh kedua (Thilaiyalagan), tertuduh keempat (Kathavarayan) dan saksi ke-29 pendakwaan U.Suresh.
Suresh, 28, dan seorang lagi saksi pendakwaan, K.Sarawanan, 21, sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun di penjara Sungai Udang, Melaka, kerana melupuskan bahan bukti berkaitan kes pembunuhan itu.
"Kedua-dua tertuduh tahu di mana lokasi eksibit kerana mereka yang telah membuangnya. Terdapat kemungkinan bahawa tulang yang ditemui di ladang berkenaan adalah milik Sosilawati dan tiga mangsa lain," katanya.
Sepanjang perbicaraan yang mengambil masa selama 71 hari bermula 4 Julai tahun lepas, sebanyak 108 saksi dipanggil memberi keterangan dan sebanyak 713 eksibit dikemukakan ke mahkamah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, Saiful Edris Zainuddin, Idham Abd Ghani, Siti Rohaida Che Hamid dan Nur Azimul Azami Mohamad Nor, sementara Pathmanabhan diwakili peguam Manjeet Singh Dhillon dan Pushpa Ratnam, Thilaiyalagan diwakili peguam Gurbachan Singh, Matan diwakili peguam Amer Hamzah Arshad dan Datuk Ng See Teong manakala Kathavarayan diwakili peguam Ravi Nekoo. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan