VVIP DENAI CINTA

25 Jun 2011

AMINULRASYID : Analisis Tidak Dipengaruhi Keterangan Saksi, Tertuduh - Pakar Forensik

SHAH ALAM, 24 Jun : Seorang pakar forensik Jumaat memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa beliau menjalankan analisis terhadap siasatan forensik dalam kes kematian Aminulrasyid Amzah tanpa dipengaruhi oleh mana-mana keterangan saksi pendakwaan dan tertuduh.

Bekas Ketua Bahagian Tempat Kejadian Jenayah (CSI) Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Amidon Anan berkata sebaliknya beliau mengguna pakai maklumat yang diberikan kepadanya seperti gambar, laporan Jabatan Kimia dan laporan CSI untuk membuat penilaian.

"Saya juga tidak perlu ke tempat kejadian kerana dokumen dan maklumat serta pengalaman yang ada sudah cukup untuk saya jalankan analisis secara bebas dan saya tidak mahu pengamatan saya diracuni oleh maklumat yang diberikan tertuduh," katanya ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd.Ghani.

Amidon memberi keterangan pada perbicaraan Koperal Jenain Subi, 48, yang diperintah membela diri atas tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, antara 1.10 pagi dan 2.00 pagi di Jalan Tarian 11/2 di sini, pada 26 April 2010.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan, yang jika disabitkan kesalahan, boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan denda. Aminulrasyid dilaporkan meninggal dunia kerana luka akibat tembakan di kepala.

Amidon seterusnya tidak bersetuju dengan cadangan Idham bahawa beliau cenderung memberi penilaian berat sebelah dan memberi keterangan yang memihak kepada tertuduh memandangkan beliau telah dilantik sebagai penasihat forensik kepada pihak pembelaan.

"Saya membuat penilaian berdasarkan gambar serta dokumen yang ada walaupun saya dirujuk dengannya tiga atau empat bulan selepas kejadian dan saya tidak bergantung sepenuhnya pada mana-mana saksi atau tertuduh. Saya bergantung kepada kata-kata 'man will try to lie but science never lies'," kata Amidon.

"Pengamatan Cif Ins Mazli Jusoh @ Che Kob (penyiasat tempat kejadian) tentang siasatan kes adalah lebih baik berbanding awak sendiri kerana beliau berada di tempat kejadian sedangkan awak hanya bersandarkan pada laporan dan gambar-gambar saja," kata Idham.

"Saya setuju Mazli sampai di tempat kejadian awal tetapi siasatan secara forensik sains tidak diamalkan secara 100 peratus," katanya. Dalam perbicaraan sebelum ini, Amidon yang merupakan pensyarah pelawat di Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) berpendapat bahawa pasukan forensik yang diketuai oleh Mazli tidak mendapatkan hasil keputusan tepat dalam siasatan kes itu kerana tidak mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dalam siasatan.

Beliau juga berpendapat siasatan keseluruhan pasukan itu gagal mengguna pakai beberapa amalan seperti pemprosesan kesan belerang dari tembakan (GSR) yang dilepaskan pada hari kejadian. Perbicaraan di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar bersambung Isnin depan. - Bernama

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails